Naratif legenda Maharaja_Jimmu

Menurut penceritaan legenda dalam buku Kojiki, tokoh bersejarah ini diputerakan pada 13 Februari 711 SM (1hb pertama dalam kalendar Cina), dan mangkat pada 11 Mac 585 SM (kedua-dua tarikh berasaskan kalendar Jepun lama yang berbentuk qamari-suria).

Nama-nama dan tarikh-tarikh maharaja terawal yang diterima umum tidak dapat disahkan sebagai "tradisional" sehinggalah pemerintahan Maharaja Kammu (737–806), iaitu pemerintah ke-50 wangsa Yamato.[3]

Menurut kepercayaan agama Shinto, Jimmu dipercayai merupakan keturunan terus dari dewi matahari, Amaterasu. Amaterasu ada seorang putera bernama Ame no Oshihomimi no Mikoto, dan darinya ada cucunda bernama Ninigi-no-Mikoto. Amaterasu menghantar cucundanya ke kepulauan Jepun di mana beliau mengahwini Konohana-Sakuya-hime. Mereka ada tiga anak lelaki, salah seorangnya Hikohohodemi no Mikoto, juga dikenali sebagai Yamasachi-hiko, mengahwini Toyotama-hime, iaitu puteri kepada dewa laut Ryūjin. Yamasachi-hiko dan Toyotama-hime melahirkan anak tunggal bernama Hikonagisa Takeugaya Fukiaezu no Mikoto. Anak itu ditinggalkan oleh ibu bapanya sewaktu lahir lalu dibesarkan oleh Tamayori-hime, adik kepada ibunya. Lama-kelamaan, Hikonagisa dan Tamayori-hime pun berkahwin dan melahirkan empat anak lelaki, yang bongsunya ialah Maharaja Jimmu.

Dikatakan juga sebaik sahaja Jimmu mula memerintah, terlantiknya seorang Pengacara Majlis (saishu). Jawatan ini lazimnya dipegang oleh seorang ahli puak Nakatomi semenjak abad ke-8.[4]

Penghijrahan Jimmu

Catatan-catatan mitos dalam Kojiki dan Nihon Shoki menyatakan bahawa kanda-kanda Jimmu lahir di Takachiho, di bahagian selatan Kyūshū (kini wilayah Miyazaki), kemudian hendak berpindah ke arah timur kerana Takachiko didapati tidak sesuai sebagai tempat memerintah seluruh negara. Seorang kanda kepada Jimmu, Itsuse no Mikoto mula memimpin perjalanan mereka ke arah barat merentasi Laut Pedalaman Seto dengan bantuan orang besar tempatan bernama Sao Netsuhiko. Setibanya di Naniwa (kini Ōsaka), sekali lagi mereka bertembung dengan seorang besar, iaitu Nagasunehiko ("sang kaki panjang"), lalu mereka bertempur sehingga Itsuse gugur. Jimmu sedar bahawa mereka ditewaskan kerana mereka bertempur ke arah timur melawan Matahari, jadi beliau hendak mendarat di bahagian timur Semenanjung Kii dan bertempur ke arah barat. Mereka mencapai Kumano, dan dengan bantuan seekor burung berkaki tiga bernama Yatagarasu ("gagak lapan rentang"), berpindahnya mereka ke Yamato, di mana sekali lagi mereka melawan Nagasunehiko sehingga berjaya.

Di Yamato, Nigihayahi no Mikoto yang juga mendakwa dirinya sebagai keturunan dewa-dewi Takamagahara, menerima perlindungan Nagasunehiko. Bagaimanapun, sebaik sahaja bertemu dengan Jimmu, maka Nigihayahi pun mengiktiraf hak Jimmu sebagai pemerintah lalu membenarkan baginda naik takhta.

Makam rasmi Maharaja Jimmu ditemui di Kashihara, wilayah Nara, tidak jauh dari Tokong Kashihara.

Menurut Kojiki, ajal menemui Jimmu pada usia 126 tahun. Nama anumerta maharaja ini membawa erti harfiah "kekuatan ketuhanan" atau "pahlawan dewa". Tidak dinafikan bahawa penamaan ini berbentuk kecinaan dan berunsur agama Buddha, yang membayangkan bahawa nama ini mungkin dibiasakan beratus-ratus tahun selepas zaman anggapan hayat Jimmu, mungkin sekali sezaman legenda asal-usul wangsa Yamato dihimpunkan menjadi kisah riwayat yang kini dikenali sebagai Kojiki.[3]

Rujukan

WikiPedia: Maharaja_Jimmu http://books.google.com/books?id=18oNAAAAIAAJ&dq=n... http://books.google.com/books?id=2KOxHQAACAAJ&dq=T... http://books.google.com/books?id=BozSWv25Gd8C&dq=H... http://books.google.com/books?id=SLAeAAAAMAAJ&q=Th... http://books.google.com/books?id=WffIAAAACAAJ&dq=C... http://books.google.com/books?id=_oEfAAAAYAAJ&clie... http://books.google.com/books?id=eatISvupicUC&dq=b... http://books.google.com/books?id=tVv6OAAACAAJ&dq=A... http://books.google.com/books?id=zjmVltzm1kYC&dq=H... http://www.wsu.edu:8080/~dee/ANCJAPAN/JIMMU.HTM